Tiada catatan yang sepadan dengan pertanyaan anda. Papar semua catatan
Tiada catatan yang sepadan dengan pertanyaan anda. Papar semua catatan

Kes samun semakin berleluasa.

Polis menyelesaikan kes samun tiga buah kedai emas di pasar raya besar sekitar Lembah Klang dengan tertangkapnya empat penjenayah dalam operasi 'Ops Api Tomei' sejak beberapa bulan lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah berkata, kesemua suspek berusia 26 hingga 39 tahun bersenjatakan pistol ketika melakukan kegiatan tersebut.
Beliau menambah, hasil siasatan mendapati geng tersebut terlibat dengan kes samun kedai emas di Pasaraya Econsave di Kota Kemuning dengan barang kemas bernilai RM200,000 dilarikan pada 13 Mei lalu dan kedai emas M.J. Jewellery cawangan pasar raya itu di Alam Damai yang melibatkan kerugian RM400,000.
"Kes terbaru, mereka menyamun kedai emas Tomei di Pasaraya Carrefour, Wangsa Maju di sini dengan melarikan barang kemas bernilai RM500,000 pada 20 Julai lalu.
"Dalam kejadian itu seorang pekerja kedai emas tersebut ditembak mati oleh dua lelaki bersenjatakan pistol," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan polis mendapati ketua geng samun telah menembak mati salah seorang ahli kumpulannya yang dikenali sebagai Bee Lee di Taman Sungai Besi di sini pada 6 Ogos lalu.
Chin Wah berkata, mangsa dipercayai bertindak sebagai pengintip di beberapa pasar raya sebelum perancangan dibuat untuk menyamun kedai emas dalam bangunan berkenaan.
"Bagaimanapun, mangsa dan ketua kumpulan tidak ikut serta dalam siri rompakan kerana tugas itu diserahkan kepada empat anggota lain bersenjatakan pistol yang akhirnya diberkas polis baru-baru ini," jelasnya.
Beliau menambah, kesemua suspek ditahan reman sehingga 30 September ini.
Chin Wah berkata, difahamkan ahli kumpulan itu mendapat habuan wang tunai RM20,000 hingga RM30,000 manakala barang kemas tersebut diserahkan kepada ketua kumpulan.
Lanjutan daripada penahanan suspek, beliau berkata, pihaknya kini memburu ketua kumpulan itu, Ngai Chan Hong, 29, beralamat terakhir di No. 17, Jalan Imbi di sini, bagi membanteras kegiatan kumpulan tersebut sepenuhnya.
Beliau berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjenayah itu menghubungi Deputi Supritendan Yahya Abdul Rahman di talian 019-4708946 atau Asisten Supritendan Ng Man Fatt, 012-2348802 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sumber dari Utusan Online.